KUALA LUMPUR:Kesan pandemik COVID-19 ke atas negara ini telah mendorong Badan Kehakiman untuk memanfaatkan teknologi bagi membolehkan prosiding atau perbicaraan dijalankan melalui dalam talian.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam Amanat Tahun Baharunya berkata, ia bagi memastikan akses keadilan kepada orang awam, biarpun terdapat batasan pergerakan dalam era Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ujarnya lagi, pada peringkat permulaan, terdapat beberapa kekangan dalam melaksanakan amalan baharu itu, termasuk hak perbicaraan adil yang memerlukan kehadiran tertuduh dalam prosiding yang dijalankan terhadapnya.

“Bagi mengatasi kesulitan ini, Badan Kehakiman telah mengusulkan pindaan tertentu terhadap undang-undang utama yang berkaitan iaitu Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1955.

“Parlimen telah dengan pantas meluluskan pindaan yang memperuntukkan kuasa secara nyata bagi menjalankan perbicaraan secara dalam talian,” katanya dalam amanat bertajuk “Mengimbas Kembali 2020, dan Aspirasi 2021” itu.

Tengku Maimun berkata, undang-undang itu telah berkuat kuasa sejak Oktober 2020, dan semenjak itu, persetujuan yang diperlukan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, serta badan yang memantau perbicaraan, tidak lagi menjadi penting.

Selain itu, ujar beliau lagi, Jawatankuasa Kaedah-kaedah telah meluluskan pindaan terhadap Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 untuk mengawal selia, dan menetapkan tatacara berhubung dengan pengendalian perbicaraan secara dalam talian.

Pada peringkat awal pelaksanaan kaedah-kaedah baharu itu, Tengku Maimun berkata, terdapat segelintir para peguam, termasuk peguam yang lebih kanan, kurang menyokong perbicaraan dalam talian atas alasan wujud ketidakupayaan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Selain itu, ujarnya lagi, mereka turut khuatir akan wujud keadaan di mana para peguam kurang kemahiran kepeguaman.

“Sesungguhnya, fasa awal perubahan dan anjakan bukanlah sesuatu yang mudah; ramai yang menyamakan pengendalian suatu perbicaraan di “mahkamah terbuka” dengan kehadiran hakim, peguam dan semua pihak secara fizikal di bilik bicara mahkamah.

“Meskipun begitu, setelah meneliti dan “mencuba proses tersebut”, kita akhirnya mendapat maklum balas yang positif,” katanya lagi.

Tengku Maimun berkata, infrastruktur teknologi Badan Kehakiman sudah lama diwujudkan seperti e-Review yang dilaksanakan semenjak 2018 di kompleks mahkamah-mahkamah utama.

Oleh itu, katanya lagi, pendigitalan bukanlah sekadar anjakan paradigma semata-mata, sebaliknya adalah suatu langkah ke arah mencapai tujuan yang sama.

“Kita telah mensasarkan agar semua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah di Malaysia dilengkapi dengan platform e-Kehakiman pada bulan Februari, 2021.

“Platform e-Kehakiman ini adalah platform asas yang merangkumi pelbagai aspek seperti e-Review, e-Filing, e-Lelong dan sebagainya.

“Bagi tujuan ini, semua bilik perbicaraan di Mahkamah Atasan dan Mahkamah Rendah akan dinaik taraf untuk menampung keperluan platform e-Kehakiman tersebut,” kata Tengku Maimun lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi statistik berkenaan dengan perbicaraan dalam talian bagi tempoh antara bulan Mac dan Disember 2020, yang menyaksikan Mahkamah Tinggi di Malaya dan di Sabah dan Sarawak telah melupuskan sejumlah 5,663 kes daripada 7,544 kes (75%) yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian. 

Di peringkat Mahkamah Rayuan, sebanyak 484 daripada 1,122 rayuan yang ditetapkan untuk pendengaran dalam talian telah dilupuskan iaitu sebanyak 43%.

Di Mahkamah Persekutuan pula, katanya lagi, sebanyak 345 kes (rayuan sivil dan jenayah termasuklah usul kebenaran untuk merayu) telah ditetapkan untuk pendengaran dalam talian dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 164 kes telah dilupuskan, atau 48%.

Selain itu Tengku Maimun berkata, Mahkamah Rendah, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia telah menetapkan sebanyak 12,733 kes untuk pendengaran dalam talian, jumlah tersebut sebanyak 5,659 kes telah dilupuskan, atau bersamaan 44%.

"Saya percaya bahawa jika semua pihak kekal komited, kita akan mencapai pelupusan yang lebih baik menerusi pendengaran dalam talian tanpa menjejaskan keadilan dan kualiti sesuatu keputusan atau penghakiman," katanya lagi.