PUTRAJAYA: Biarpun situasi semasa COVID-19 di negara ini agak mendatar, namun terdapat beberapa indikator yang perlu diberi perhatian serius, tegas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, antara indikator itu ialah – peningkatan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan, meliputi kesemua kategori 1 – 5; serta peningkatan purata kes aktif sebanyak 6 peratus dalam tempoh seminggu.

Khairy berkata, walaupun 98 peratus kes baharu COVID-19 kes kategori 1 dan 2, peningkatan kes baharu dan kes aktif COVID-19 selama dua minggu berturut-turut itu mengakibatkan kemasukan kes ke fasiliti kesihatan juga mulai meningkat.

“Kes COVID-19 dalam kalangan kategori 1 dan 2 yang berisiko tinggi masih memerlukan penjagaan dan pamantauan di hospital – Contohnya ibu hamil dengan faktor risiko tertentu, warga emas dengan komorbiditi yang serius seperti penyakit buah pinggang serta memerlukan dialisis dan sebagainya.

“Hospital juga kini mula memasukkan kes-kes bukan COVID-19 untuk rawatan perubatan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya kepada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Bilangan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan meningkat semula


Khairy berkata, secara keseluruhannya kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil bukan ICU, Katil ICU dan PKRC) didapati mula meningkat semula terutamanya di kawasan Lembah Klang.

Selain itu, beliau berkata, susulan kebenaran merentas negeri yang dilaksanakan bermula 11 Oktober 2021 yang lalu, hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes COVID-19 kecuali bagi negeri Perlis, Sarawak dan Sabah.

“Jika diperhatikan dengan lebih terperinci, enam negeri iaitu Perak, Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan kadar pengisian katil bukan ICU melebihi 50 peratus.

“Tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, W.P. Kuala Lumpur, W.P. Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus,” tambahnya lagi.

Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke PKRC, hospital dan ICU, Khairy berkata, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri di negeri masing-masing memantau rapat situasi harian, dan telahpun mempunyai pelan tindakan yang digerakkan apabila keadaan memerlukan.

Memandangkan situasi dan kapasiti rawatan perubatan di setiap negeri adalah berbeza, beliau berkata, tumpuan bagi rawatan COVID-19 perlu diimbangi dengan keperluan rawatan kepada kes bukan COVID-19.