Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitiri yang bakal disambut umat Islam esok, orang ramai disarankan agar tidak bersalaman atau mencium ibu bapa khususnya warga emas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah tersebut bagi memastikan jangkitan pandemik COVID-19 kepada kumpulan berisiko tinggi dapat dikekang.

“Apa yang penting dalam musim perayaan ini kita boleh memutuskan rantaian COVID-19.

“Jadi, dengan tindakan yang positif iaitu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, mungkin kita boleh mengurangkan jangkitan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, bagi individu yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman, Dr Noor Hisham berkata, anggaplah ia sebagai satu pengorbanan kepada negara.

“Jadi kita menasihatkan mereka, ini merupakan satu pengorbanan mereka kepada negara supaya sama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” ujar beliau.

Sebelum itu, Dr Noor Hisham dalam sidang media sama memaklumkan 23 kes jangkitan COVID-19 dikesan di beberapa pusat jagaan orang-orang tua.

Daripada jumlah tersebut, 13 kes melibatkan penghuni, sementara 10 lagi membabitkan petugas di pusat jagaan.