KOTA KINABALU: Sebanyak enam kluster baharu COVID-19 direkodkan di Sabah semalam melibatkan 130 kes kumulatif di beberapa daerah, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 itu berkata Kluster Sawit di Kinabatangan memiliki jumlah jangkitan tertinggi iaitu 29 kes dalam kalangan komuniti dan tempat kerja di sebuah ladang sawit.

Beliau berkata kes indeks melibatkan seorang kerani wanita berusia 25 tahun yang dikesan melalui saringan masuk kerja di sebuah klinik di Kinabatangan pada Isnin lepas sebelum saringan kontak mendapati 28 lagi kes positif merangkumi 14 jangkitan tempat kerja dan selebihnya tanggungan mereka.

"Semua kes positif kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah Kinabatangan... disinfeksi diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risikokemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang lain," menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Masidi berkata Kluster Tamalang di Kota Belud pula merekodkan 27 kes positif COVID-19 dan berdasarkan maklumat awal, kluster itu tercetus dipercayai susulan aktiviti komuniti antaranya kelas mengaji Al-Quran, latihan dan ujian memandu serta ziarah keluarga dan jiran.

"Kes indeks seorang lelaki berusia 25 tahun dikesan positif pada 27 Mei lepas dan saringan kontak rapat mengesan 17 lagi kes positif selain sembilan lagi kes daripada kontak sosial di sebuah akademi memandu memandangkan kes indeks menjalani latihan dan ujian memandu di akademi itu," katanya.

Beliau berkata Kluster Murni C yang dikesan di Nabawan dan Penampang melibatkan 25 kes yang tercetus susulan penganjuran majlis penghormatan terakhir serta pengebumian di Kampung Murni C pada 20 dan 21 Mei lepas.

"Kluster indeks seorang lelaki warganegara berusia 33 tahun disahkan positif di Klinik Kesihatan Penampang pada 22 Mei lepas dan pengesanan yang dilakukan di dua daerah itu mendapati 24 lagi individu positif virus tersebut," katanya.

Masidi berkata Kluster Kampung Gusi di Papar pula merekodkan 25 kes yang tercetus susulan aktiviti komuniti serta keagamaan dan kes indeks seorang lelaki berusia 60 tahun bersama isterinya dikesan positif pada 28 Mei lepas.

"Antara yang dikesan positif ialah jemaah Surau Al-Kautsar iaitu tempat kes indeks menunaikan solat Maghrib dan Isyak selain rakan serumah kes indeks tersebut," katanya.

Beliau berkata Kluster Jalan Utama di Sandakan merupakan kluster tempat kerja di sebuah syarikat insurans melibatkan15 kes dan kes indeks pekerja wanita berusia 51 tahun disahkan positif pada 28 Mei lepas manakala saringan mengesan tujuh kes kontak kerja, lima kes kontak serumah dan dua kes kontak sosial.

Katanya Kluster Ketiau Tembovo di Putatan pula menyaksikan sembilan kes yang tercetus susulan aktiviti komuniti serta keagamaan dan kes indeks lelaki berusia 63 tahun dikesan positif pada 29 Mei lepas menjangkiti rakan serumah serta kontak rapat.

-- BERNAMA