KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti sebanyak enam lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 di negara ini pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kluster baharu yang dilaporkan itu dikenali sebagai Kluster Tinusa, Kluster Sauh, Kluster Jambu, Kluster Sofi, Kluster Bah Mutiara, dan juga Kluster Umboo.

Kluster Tinusa

- Melibatkan daerah Sandakan di Sabah, di mana kes indeks kluster dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 6 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

- Susulan kluster ini, sejumlah 586 individu telah disaring dan daripada jumlah itu 33 kes telah dikesan positif termasuk tiga kes baharu pada Khamis.

Kluster Sauh

- Melibatkan penularan di daerah Kota Kinabalu dan Papar di Sabah serta daerah Miri, Sarawak yang dikesan positif pada pada 13 Oktober hasil saringan bergejala yang telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Kluster Jambu

- Dikesan di daerah Hulu Langat, Selangor, di mana kes indeks kluster telah disahkan positif COVID-19 pada 16 Oktober hasil saringan pra-pembedahan. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

BACA: COVID-19: 847 kes baharu, lima kematian dilaporkan

Kluster Sofi

- Kluster baharu yang melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan. Kes indeks kluster ini didapati positif COVID-19 pada 20 Oktober hasil saringan bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Rembau.

- Seramai 34 kes dikesan positif hasil saringan 160 individu.

Kluster Bah Mutiara

-  Melibatkan daerah Hulu Langat di negeri Selangor serta daerah Titiwangsa dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks disahkan positif COVID-19 pada 23 Oktober hasil saringan individu bergejala.

- Kes tersebut dikatakan mempunyai sejarah pulang dari Kawasan berisiko (Sabah) dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kluster Umboo

- Dikesan di Alor Gajah, Melaka di mana kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan di Depoh Tahanan Imigresen pada 18 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Melaka.

- Hasil saringan kontak rapat telah mengenal pasti tiga lagi kes positif.