IPOH: Enam warga emas termasuk seorang pesakit terlantar menerima vaksin di rumah masing-masing menerusi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Lenggong hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerusi kenyataan di laman sosial Facebook rasminya memaklumkan kesemua warga emas masing-masing menetap di Kampung Chepor, Kampung Lubuk Kawah dan Kampung Banggol Belimbing itu menerima vaksin menerusi program yang dijalankan menerusi kaedah bergerak dari rumah ke rumah.

 
Sumber Facebook jknperak


"Pasukan pemberian vaksin mobile (secara bergerak) terdiri daripada seorang pegawai perubatan, dua orang jururawat dan seorang penolong pegawai perubatan.

"Selepas pemberian vaksin, kesemua pasukan perubatan berkenaan turut menjalankan pemerhatian kepada setiap warga emas itu selama 15 hingga 30 minit," katanya.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut menyebut program berkenaan yang juga prapelancaran pemberian vaksin bagi warga terlantar (Fasa 2) peringkat negeri turut disertai Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

-- BERNAMA