KOTA KINABALU: Dua kluster baharu COVID-19 dikesan di Sabah iaitu Kluster Kebagu di sini serta Papar, selain Kluster Tanjong Kapor di Semporna melibatkan kes indeks guru dan wanita hamil.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata bagi Kluster Kebagu kes indeks merupakan seorang guru wanita berusia 53 tahun di Sekolah Kebangsaan Kebagu yang disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 3 Mei.

"Saringan kontak dilakukan antaranya terhadap 281 orang termasuk guru, kakitangan serta pelajar di sekolah terbabit. Sebanyak 15 kes dalam kluster itu dikesan setakat ini," katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi berkata, Kluster Tanjung Kapor pula melibatkan lapan kes dengan kes indeks seorang wanita warganegara berusia 31 tahun yang hamil 27 minggu dikesan pada 9 Mei lepas di Hospital Semporna.

Beliau berkata wanita itu mengalami kekejangan otot di bahagian bawah abdomen telah dibawa ke hospital itu namun ujian saringan dilakukan mendapati wanita itu positif COVID-19, manakala saringan kontak rapat mengesan tujuh isi rumah wanita itu positif COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah merekodkan 70 kes positif baharu COVID-19 di negeri ini yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,073 kes.

"Kes kematian hari ini membabitkan tiga kematian di daerah Papar, Kinabatangan dan Tawau. Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh adalah 56 dan menjadikan jumlah kumulatif seramai 57,917 orang.

"Seramai 576 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 239 orang di hospital dan 337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam," katanya.