KUALA LUMPUR: Mungkin bukan hanya keceriaan yang disebarkan pada musim perayaan ini, kerana varian COVID-19 JN.1 telah mula dikesan di Malaysia semalam.

Sebanyak 61 sampel yang diambil daripada beberapa kawasan di Sarawak menunjukkan kehadiran dua sub-varian Omicron yang dominan: JN.1 (49 peratus) dan HK.3 (26 peratus).

"Sampel-sampel ini diperolehi dari sekitar kawasan Kuching/Samarahan, dengan beberapa kes di Sibu," kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak, Dr David Perera.

Pada 19 Dis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan JN.1 sebagai varian COVID-19 yang mempunyai kepentingan berikutan tahap penyebaran yang tinggi di seluruh dunia.

Menurut ahli virologi Profesor Emeritus Datuk Dr. Lam Sai Kit, penyebaran cepat JN.1 dalam beberapa bulan terakhir menunjukkan kebolehjangkitannya amat tinggi.

"Ia mungkin lebih cekap mengelak sistem imun kita. JN.1 mengandungi mutasi tambahan yang mempengaruhi protein spike virus penting yang memasuki sel hos," katanya kepada Bernama.

Belum ada bukti yang menunjukkan bahawa JN.1 membawa risiko yang lebih tinggi kepada kesihatan awam berbanding varian lain, katanya.

Namun begitu, ini juga tidak bermakna ia membawa ancaman rendah.

"Gejala utama jangkitan JN.1 serupa dengan subvarian Omicron yang lain. Bagi pesakit yang berusia, yang immunocompromised, dan yang mempunyai pelbagai komorbiditi seperti diabetes dan penyakit jantung, sub-varian seperti JN.1 boleh menyebabkan kemasukan wad dan kematian.

"Ia juga boleh menyebabkan long COVID, walaupun pada pesakit yang muda," kata Dr. Lam.

JN.1 pertama kali dikesan pada September 2023 di Amerika Syarikat. Pada 8 Dis, kira-kira 15-29 peratus kes COVID-19 merupakan jangkitan JN.1, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.

Lebih 40 negara telah melaporkan jangkitan JN.1 termasuk UK, Denmark, Sepanyol dan Iceland.

Minggu lepas, China mengesan tujuh kes JN.1 manakala India baru sahaja mengesan JN.1 melalui RT-PCR dalam pemantauan berterusan. Singapura, Thailand, Indonesia dan Australia juga melaporkan JN.1 di negara masing-masing.

Dr Lam berkata langkah perlindungan terbaik tetap seperti dahulu, iaitu mendapatkan vaksin, pemakaian pelitup muka di kawasan sesak, dan mengurangkan pendedahan kepada pesakit.

"Sesuatu yang positif ialah vaksin sedia ada, terutamanya vaksin dwivarian dan vaksin monovarian yang telah dikemaskini mampu menghasilkan antibodi yang berfungsi melawan JN.1 dan sub-varian sedia ada.

"Antibodi ini mungkin tidak sepenuhnya menghalang penularan atau jangkitan tetapi mampu mengurangkan kemungkinan jangkitan yang teruk dan risiko kematian," katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, pengambilan vaksin masih diperlukan.

"Orang yang tidak divaksin dan tidak pernah mendapat jangkitan ialah hos ideal bagi SARS-CoV-2 dan dalam penghasilan varian baharu. Ini disebabkan ketiadaan pemilihan negatif oleh antibodi, yang menjadikannya lebih mudah bagi virus untuk bereplika dan menghasilkan mutasi baru," katanya.

COVID-19 akan terus bermutasi disebabkan tekanan pilihan (selection pressure). Ini menjadikannya amat penting bagi semua negara untuk terus memantau perubahan antigenik dan berkongsi maklumat tersebut antara satu sama lain.

-- BERNAMA