KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menguatkuasakan arahan kuarantin wajib 14 hari dengan pembiayaan sendiri bagi individu bukan berasal dari Sabah yang masuk ke negeri itu berkuat kuasa Khamis (20 Mei).

Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ia sebahagian usaha kerajaan negeri mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata, bagaimanapun individu yang berasal dari Sabah, penduduk tetap dan pemegang Pas Kerja yang bermastautin di negeri itu dibenar menjalani arahan kuarantin di rumah masing-masing.

"Individu yang bukan berasal dari Sabah dikehendaki menjalani kuarantin itu di hotel yang ditetapkan sebagai pusat kuarantin iaitu 16 hotel di Kota Kinabalu dan satu di Tawau atas biaya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada malam Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga mewajibkan ujian saringan COVID-19 PCR (Polymerase Chain Reaction) dengan keputusan negatif bagi setiap individu yang ingin masuk ke negeri Sabah, bermula tarikh sama.

"Kemasukan ke negeri Sabah bagi pegawai-pegawai kerajaan adalah dibenarkan tertakluk kepada pegawai yang mempunyai surat rasmi bertugas di negeri Sabah," katanya.

Masidi berkata kerajaan negeri juga membenarkan kemasukan pelabur asing bagi tujuan melabur di negeri ini, bagaimanapun mereka perlu mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kemasukan daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesan dua kes penularan COVID-19 di Tawau yang berpunca daripada dua kes indeks dari Labuan yang pulang menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata kes pertama melibatkan pasangan suami isteri yang pulang ke Ladang Abaka, Tawau pada 7 Mei, dan mereka disahkan positif pada 14 Mei dan menjangkiti sembilan ahli keluarga.

Bagi kes kedua, individu terlibat pulang ke Kampung Sungai Imam, Tawau pada 8 Mei sebelum disahkan positif pada 16 Mei dan turut menziarah keluarganya di Taman Barkeley, Tawau seterusnya menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarganya.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri pada hari ini memutuskan untuk mengetatkan SOP (prosedur operasi standard) kemasukan ke Sabah," katanya.

Masidi berkata JKNS merekodkan 95 kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,504 kes.