MALAYSIA
COVID-19: Jangan takut ambil vaksin - MB Perak

Saarani berkata, kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi dengan menjadikan Stadium Indera Mulia di Ipoh sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) negeri ini. - Foto Astro AWANI
LENGGONG: Rakyat Perak dinasihatkan supaya tidak takut mengambil suntikan vaksin COVID-19 demi kebaikan semua dalam usaha menghalang penularan lebih jauh pandemik itu.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara ini penting dalam memastikan orang ramai tidak terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu yang enggan menerima vaksin.
"Negeri Perak telah pun membuat persiapan rapi sepertimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi vaksin ini.
"Dan saya hendak merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak, kita terima vaksin ini dengan hati yang terbuka.
"Jangan ada orang yang takut atau mudah dihasut dengan pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada mengambil vaksin ini.
"Vaksin ini penting," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada tenaga pengajar Program Pecutan Akhir – Kelas SPM 2020 DUN Kota Tampan dan DUN Lintang di sini, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi dengan menjadikan Stadium Indera Mulia di Ipoh sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) negeri ini.
Katanya lagi, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka meninjau persiapan tempat itu pada Selasa ini, sekali gus memberikan keyakinan kepada rakyat berhubung beberapa prosedur yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terdahulu pagi ini, pesawat khas MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Penerbangan yang menggunakan pesawat Airbus 330-300 itu tiba dari Singapura, membawa 312,390 dos vaksin COVID-19.
Perjalanan vaksin itu dari kilang Pfizer di Belgium diuruskan syarikat farmaseutikal itu dan DHL.
Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang Leipzig Halle, Jerman, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami