KUALA LUMPUR:Kerajaan mesti membangunkan sistem pemantauan atau pangkalan data yang rapi serta lengkap untuk memantau kesan sampingan vaksin COVID-19 dan sebagai penyampai maklumat yang telus kepada masyarakat.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, ia berikutan kemungkinan berlaku kesan-kesan sampingan ringan yang akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat awam.

"Kita juga tahu bahawa pelaksanaan rancangan imunisasi COVID-19 ini memerlukan suatu pemantauan yang lebih rapi kerana yang pertama ia melibatkan beberapa jenis vaksin yang baharu.

"Yang kedua adalah kerana ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai umur dan juga tempat tinggal.

"Jadi mungkin akan berlaku kesan-kesan sampingan ringan, yang akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat awam," katanya semasa dihubungi pada Ahad.

Di samping, Dr Zainal Ariffin berharap agar pelaksanaan program imunisasi dilaksanakan secepat mungkin.

Ia sekali gus dapat mengurangkan jangkitan dan rakyat dapat kembali kepada keadaan yang hampir normal dalam masa yang terdekat.

"Satu lagi yang penting adalah kita menyasarkan antara 70 sehingga 80 peratus penduduk untuk mendapatkan imunisasi COVID-19 ini serta dengan harapan, kita boleh mendapat imunisasi kelompok.

"Dengan adanya jawatankuasa ini, kita harap supaya peluang itu dapat diberikan kepada semua rakyat, semua penerima yang layak, di samping memudahkan untuk mereka mendapat vaksin ini.

Menurutnya, ia merangkumi golongan yang tinggal di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan-kemudahan yang dekat dan baik, dan juga untuk penduduk-penduduk di kawasan-kawasan terpencil dan jauh daripada kawasan bandar," ujarnya.

Kata Dr Zainal Ariffin, ia memerlukan satu perancangan logistik yang betul-betul rapi.

Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini akan melibatkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara secara percuma.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam kenyataan memaklumkan, usaha itu akan melibatkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Kata kenyataan JKJAV, usaha itu selari dengan dengan tema program berkenaan iaitu 'Lindung Diri, Lindung Semua' serta menerusi pendekatan 'tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat'.