CANSELOR Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Jumaat menyarankan supaya negara Kesatuan Eropah (EU) menyelaraskan dasar pembukaan semula sempadan pasca COVID-19.

Langkah ini bagi mengekang penularan varian baharu virus tersebut, menurut mereka dalam kenyataan yang dibuat selepas pertemuan dua pemimpin itu di Berlin.

Menurut Macron, negara anggota EU perlu kekal berjaga-jaga, merujuk kepada perkembangan di Britain yang menyaksikan peningkatan kes melibatkan varian Delta.

“Apa yang akan kami bincangkan dalam mesyuarat Majlis Eropah akan datang, dan apa yang kedua-dua kami setuju ialah, untuk memperkukuh koordinasi dasar-dasar kami.

"Pilihan ini merupakan pilihan anggota masing-masing tetapi kami mendesak supaya ada penyelarasan yang lebih kukuh.

"Ketika ini ada negara anggota yang sudah membuka semula perdagangan, khususnya melibatkan pelancongan, membuatkan kami mahu lebih berwaspada.

"Jadi, kami akan memohon supaya peraturan ini boleh diseragamkan untuk memenuhi matlamat bersama," katanya kepada pemberita di Berlin.

Sementara itu, Merkel berkata, walaupun Jerman mempunyai jumlah jangkitan COVID-19 baharu yang sangat rendah ketika ini, varian Delta yang "agresif" boleh menyebabkan peningkatan kes.

"Kita tidak boleh berpura-pura yang pandemik ini sudah berakhir," katanya.

"Ketika kita rasa seolah-olah tiada lagi ancaman, kita boleh lihat keadaan di Lisbon, bagaimana ia berubah sekelip mata.

"Dan masih ramai penduduk yang belum divaksin serta mendapat perlindungan sepenuhnya.

"Sebab itu saya percaya, kita masih perlu berjaga-jaga. Ini supaya kita boleh sedikit bebas dalam musim panas ini, tetapi tidak bebas sepenuhnya," katanya.

Perkara itu, kata Merkel, terpakai dalam banyak acara besar, seperti contoh di Munich, di mana 14,000 penonton dibenarkan berada di stadium.

"Tetapi apabila saya lihat stadium yang penuh di negara-negara Eropah lain, saya sedikit skeptikal, adakah ini langkah yang tepat untuk situasi semasa?" soalnya.

Selain isu COVID-19, pertemuan Merkel dan Macron turut menyentuh isu ekonomi dan Rusia.