KUALA LUMPUR:Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sedang merangka untuk menyediakan operasi selama 24 jam di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan CAC bergerak bagi memantau pesakit yang mempunyai masalah mobilisasi atau dari kalangan golongan rentan.

"Sukacita dimaklumkan bahawa setakat ini, JKN Kedah telah berjaya menubuhkan 11 buah CAC iaitu sebuah CAC di setiap daerah untuk memantau pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2.

"Selain itu, pusat itu juga akan menerima pesakit melalui “stepdown care” dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital," katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya di sini, pada Ahad.

 
Sumber Facebook DGHisham

Terdahulu beliau meluangkan masa melawat Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Hospital Alor Setar bagi melihat sendiri kesiapsiagaan darurat pandemik COVID-19 JKN Kedah.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, selain pembentukan CAC, Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan khidmat pandu-lalu bagi melicinkan proses saringan COVID-19 dengan mengubahsuai laluan klinik.


Katanya, tiga buah reruai (booth) persampelan turut dibina dengan usaha sama syarikat tempatan bagi memudahkan persampelan saringan COVID-19.

"Saya juga mengambil peluang untuk meninjau fasiliti kesihatan di Hospital Alor Setar yang menempatkan pesakit-pesakit COVID-19.

"Hospital ini pernah menempatkan sebahagian besar pesakit Kluster Tembok sebelum ‘makeshift’ hospital dibina di dalam penjara," katanya.

Dalam masa sama, beliau juga menghadiri sesi taklimat dan mengadakan lawatan tapak projek naik taraf Hospital Alor Setar.

"Skop projek ini adalah menaiktaraf sistem mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja sivil termasuk arkitektural di Blok E yang melibatkan Jabatan Dewan Bedah, Jabatan Endoskopi, Post-Anesthesia Care Unit (PACU), CSSD dan farmasi.

"Hospital ini bakal mempunyai enam buah dewan bedah, lapan buah katil PACU dan sebuah suit endoskopi," ujarnya.

Dr Noor Hisham turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada JKN Kedah dan kesemua petugas kesihatan di negeri itu atas usaha membendung penularan pandemik ini.

"Semoga segala penat lelah dan keringat yang menitis tatkala berpanasan memakai PPE untuk menyaring dan merawat pesakit-pesakit COVID-19 diberikan balasan yang setimpal oleh Tuhan," katanya lagi.