PUTRAJAYA: Kerajaan akan memutuskan pelaksanaan skim perlindungan pampasan kepada penerima vaksin COVID-19 yang mendapat kesan sampingan serius akibat suntikan vaksin tersebut pada Jumaat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kementeriannya dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan cadangan pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Oleh itu, Dr Adham berkata, skim tersebut akan dibentangkan kepada Kabinet untuk dibincangkan dan dipersetujui sekiranya bertepatan dengan pelaksanaanya.

“Perkara ini akan dibentangkan dan dipersetujui sekiranya bertepatan dengan langkah-langkah bagi menangani kesan sampingan buruk suntikan vaksin tersebut.

“Setakat ini, kami menamakan ia sebagai Tabung Mudarat Vaksinasi Kebangsaan," katanya pada sidang media susulan pelancaran buku Majlis Pelancaran Buku 'The Covid-19 Chronicles Of Malaysia | Navigating The Storm' di Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Buku berkenaan merupakan edisi ketiga kepada The COVID-19 Chronicles of Malaysia hasil kompilasi maklumat yang diperoleh daripada dokumen-dokumen kerajaan, data terbuka serta keratan akhbar berkaitan pandemik COVID-19 di Malaysia.

Mengulas mengenai pampasan ex-gratia pula, beliau berkata ia digunapakai oleh kerajaan.

Namun, perkara tersebut hanya akan diputuskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

“Perkara itu belum diputuskan sehingga Jumaat ini dan akan diumumkan Perdana Menteri pada 15 Mac ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai kesan sampingan teruk yang memungkinkan seseorang itu untuk menerima rawatan,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata kerajaan dijangka mengumumkan perincian skim perlindungan pampasan kepada penerima vaksin COVID-19, yang mendapat kesan sampingan serius akibat suntikan vaksin berkenaan pada Isnin depan.