KUALA LUMPUR: Nilai kadar kebolehjangkitan di Malaysia mengalami ketidaktentuan dengan angka itu mencatatkan turun naik sejak 4 September lalu.

Pada Rabu angka itu kembali meningkat kepada 0.97 berbanding 0.96 hari sebelumnya.

Sebanyak lapan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan.

Sarawak kekal merekodkan kadar tertinggi dengan 1.14, diikuti Terengganu, Perlis, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Sabah, Melaka, Kedah, Putrajaya, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur catat R-naught di bawah purata kebangsaan.

Labuan, yang sudah mencapai imuniti kelompok mencatatkan sifar kes baharu COVID-19.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Manakala yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.