KUALA LUMPUR: Bukan mudah untuk menerima kenyataan ada ahli keluarga terdekat disahkan positif COVID-19, apa lagi selepas doktor mengesahkan keadaan mereka kritikal.

Demikian juga keresahan dan kebimbangan yang dilalui penyanyi terkenal, Datin Alyah apabila ahli keluarganya menjadi mangsa musuh yang tidak kelihatan itu.

Kesedihan tambah berganda kerana bukan hanya kakaknya seorang dijangkiti, bahkan abang ipar serta empat orang anak saudaranya juga menjadi mangsa.

Menurut isteri kepada maestro ternama, Datuk Ramli MS itu, kakaknya terpaksa ditidurkan oleh doktor kerana mengalami kesukaran bernafas.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata, tiada kemampuan lain yang ada padanya selain hanya mampu berdoa dari jauh.

“Kakak ku sekarang berada di wad COVID-19 dan terpaksa ditidurkan kerana kesukaran bernafas, abang iparku dikuarantin, seorang anak saudaraku dikomakan dan tiga anak saudara yang lain dikuarantin di rumah,” kata Alyah berkongsi berita duka itu di laman Instagramnya.

“Sesungguhnya aku buntu kerana aku tidak mampu berbuat apa-apa kecuali berdoa,” tambah Alyah.

Kata Alyah, jangkitan COVID-19 diperoleh kakaknya dari sebuah kilang di Gelang Patah, Johor tempat dia berniaga makanan.

Dalam hantaran itu, penyanyi yang popular dengan lagu Sesal Separuh Nyawa itu memohon orang ramai agar medoakan kesemua ahli keluarganya itu agar segera sembuh daripada COVID-19.