Vokalis 3 Doors Down, Brad Arnold meninggal dunia akibat kanser

Brad Arnold, vokalis dan pengasas kumpulan 3 Doors Down, meninggal dunia pada usia 47 tahun selepas berjuang menentang kanser buah pinggang tahap 4. - Foto Instagram 3 Doors Down
DUNIA muzik rock antarabangsa kehilangan seorang figura penting apabila Brad Arnold, vokalis dan pengasas kumpulan 3 Doors Down, meninggal dunia pada usia 47 tahun selepas berjuang menentang kanser buah pinggang tahap 4.
Menurut kenyataan rasmi daripada media sosial kumpulan itu, Arnold meninggal dunia dalam tidur, dikelilingi keluarga termasuk isterinya, Jennifer.
Arnold sebelum ini mendedahkan diagnosis penyakitnya pada Mei 2025, menerusi video kepada peminat yang menjelaskan beliau menghidap clear cell renal cell carcinoma (ccRCC), sejenis kanser buah pinggang biasa, yang telah merebak ke paru-paru.
Kematian beliau menamatkan tempoh panjang yang penuh ketidaktentuan sejak mengumumkan diagnosis tersebut, yang juga memaksa pembatalan jelajah muzik kumpulan itu tahun lalu.
Walaupun diagnosis beliau sudah diketahui umum, pemergian ini tetap mengejutkan ramai peminat generasi 2000-an yang membesar dengan muzik 3 Doors Down.
"Arnold dikenali sebagai suara di sebalik lagu 'Kryptonite', yang ditulisnya ketika berusia 15 tahun dan menjadi hit global," menurut 3 Doors Down.
Selain Kryptonite, beliau turut membawakan deretan lagu yang menempa kejayaan besar seperti Here Without You, When I’m Gone, Duck and Run, dan Be Like That.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi tentang majlis peringatan.
Lazimnya, penghormatan akan dilakukan secara berperingkat, bermula dengan majlis tertutup keluarga, diikuti penghormatan awam dan persembahan tribut.
3 Doors Down dijangka membincangkan masa depan kumpulan dan cara terbaik menghormati legasi Arnold, termasuk kemungkinan persembahan tribut atau projek khas.
Arnold meninggalkan legasi besar dalam genre post‑grunge, dikenang sebagai penulis lagu yang mampu menyentuh perasaan, penuh kerendahan hati dan dekat dengan peminat sepanjang 30 tahun kerjayanya.
3 Doors Down ialah sebuah kumpulan muzik rock alternatif / post-grunge dari Amerika Syarikat, ditubuhkan pada 1996 di Escatawpa, Mississippi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


