KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pengurusan Genting telahpun diarah menutup operasi kasino serta-merta.

Memetik laporan berita portal The Vibes, Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau telah mengeluarkan arahan penutupan serta-merta ke atas kasino tersebut pada Jumaat lepas (21 Mei).

“Saya telah mengarahkan penutupan pada Jumaat lepas,” katanya kepada The Vibes lagi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada November tahun lepas berkata, pelaksanaan gelembung perjalanan adalah untuk membantu memulihkan ekonomi dan membolehkan rakyat bergerak ke lokasi lain untuk melancong.

Begitupun, ia hanya melibatkan lokasi dalam Malaysia dan tidak melibatkan perjalanan ke luar negara.

BACA: Travel bubble, ini apa yang anda perlu tahu 

Pada 9 Mac lepas, kerajaan mengumumkan gelembung pelancongan bersasar di bawah konsep yang sama, namun hanya melibatkan negeri-negeri berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

Sementara pada 22 April lepas, media melaporkan sekumpulan 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah telah pergi melancong ke Genting Highlands melalui konsep gelembung perjalanan domestik atau ‘travel bubble’ untuk sektor pelancongan.

Bagaimanapun, dua hari selepas itu, sebahagian pelancong daripada kumpulan terbabit mula mengalami simptom COVID-19 dan 16 daripada mereka disahkan dijangkiti virus itu pada 7 Mei lepas.