KUALA LUMPUR:Kerajaan disarankan agar tidak terlalu bergantung kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk mengatasi krisis COVID-19.

Pakar Dasar Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng sebaliknya berkata, kerajaan perlu merangka rancangan jangka masa panjang dan seterusnya melaksanakan pelan pasca PKP.

“PKP dan SOP sedia ada adalah langkah bersifat sementara dan kerajaan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada PKP dan SOP sedia ada," katanya ketika ditemu bual menerusi Skype pada Ahad.

Mengulas mengenai kadar peningkatan kes di Selangor, Dr Khor menjelaskan perkara itu disebabkan oleh kadar penduduk yang tinggi di negeri itu.

“Selangor merupakan penduduk yang paling ramai di Malaysia jadi itu bukan satu perkara yang memeranjatkan.

“Ia juga bergantung kepada kadar ujian saringan yang dibuat sekiranya ujian banyak dilakukan maka jumlah kes juga akan bertambah.


COVID-19 | Adakah SOP ketika ini memadai bendung penularan?

“Ada kebaikan bila kes banyak dikesan jadi mereka yang positif dapat segera diasingkan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Malaysia tidak perlu dalam keadaan terburu-buru untuk melaksanakan SOP baharu sebaliknya perlu diberi ruang untuk meneliti sesuatu perkara sebelum ia dilaksanakan.

Ini termasuk keseimbangan dalam memastikan penguatkuasaan SOP dapat dilaksanakan secara menyeluruh meskipun ada pihak yang masih keluar demi tuntutan tugas dan beberapa sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.