KUALA LUMPUR:Kerajaan Jepun menerusi Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) menyumbang sebanyak 21,200 kelengkapan perlindungan diri (PPE) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diedarkan kepada petugas barisan hadapan.

Ia merangkumi pakaian luar dan pakaian perlindungan penuh masing-masing sebanyak 7,600 keping; sarung tangan sebanyak 3,000 keping; manakala 3,000 keping lagi adalah pelitup muka N95.

Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka dalam satu kenyataan berkata PPE berkenaan akan diedarkan segera termasuk kepada pasukan polis, tentera, pertahanan awam dan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bekerja tanpa henti selama pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sangat berharap bahawa bantuan ini akan segera digunakan untuk melindungi pegawai dan barisan hadapan yang bekerja sepanjang masa dalam memerangi wabak COVID-19.

“Kerajaan Jepun telah bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bantuan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Penyerahan PPE dilakukan secara maya kepada Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim pada Khamis.

Jelas Oka lagi, pihaknya menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada kerajaan Malaysia dan NADMA kerana sentiasa memastikan rakyat Jepun yang berada di negara ini selamat daripada ancaman COVID-19.

Dalam perkembangan sama, JICA turut menjalin hubungan kerjasama dengan NADMA melalui projek kerjasama teknikal di Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT) dalam bidang Pengurusan Risiko Bencana.