GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang perlu mengambil langkah yang bersesuaian mengikut konteks negeri dalam usaha mengekang penularan COVID-19 dan tidak hanya mengharapkan kerajaan Pusat semata-mata menangani masalah tersebut.

Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy berkata, krisis kesihatan ketika ini semakin serius dengan peningkatan kes yang tinggi di laporkan di negeri itu .

Menurut Ramasamy, pelaksanaan darurat sebelum ini tidak banyak membantu negara dalam membasmi COVID-19, malah sekiranya peranan kerajaan negeri serta agensi berkaitan dilibatkan pada awal krisis pandemik, penularan wabak ini mungkin dapat dikawal.

“Saya pun tak nak salahkan sesiapa, kita dalam krisis di mana kes-kes (COVID-19) telah bertambah di Pulau Pinang, hari-hari ada kes, ada yang meninggal (dunia) di rumah dan kena kuarantin di rumah dan sebagainya.

“Ini telah dibincang (dan) kita memang dalam satu krisis dan kita tak boleh harapkan kerajaan Pusat semata-mata, tapi kita perlu ambil langkah untuk tawan (kes COVID-19),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Khamis.

Turut berpandangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan negeri mengambil langkah mitigasi sendiri bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada menjadi korban.

Beliau berkata, pemberian vaksin juga perlu disegerakan khususnya kepada mereka yang berisiko iaitu yang berumur 50 tahun ke atas .

Menurut Guan Eng, kematian akibat COVID-19 di Pulau Pinang ketika ini adalah sangat membimbangkan apabila sebanyak 211 kematian direkodkan dalam tempoh hanya 15 hari iaitu antara 11 hingga 26 Ogos lalu.

“Kita perlu laksanakan langkah-langkah seperti yang saya sebutkan… mitigasi mengurangkan kesan buruk yang berlaku, sekiranya kerajaan Pusat tak mau buat saya cadangkan kerajaan negeri buat, mari kita jadi pemimpin dalam perkara ini,” kata Guan Eng lagi.