JUMLAH kumulatif kes positif global COVID-19 melepasi 32.6 juta setakat ini selepas lebih 290,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 7.07 juta kes.

Ia diikuti India (5.9 juta kes), Brazil (4.7 juta kes) dan Rusia (1.1 juta kes).

Sementara itu, Columbia, Peru, Mexico, Sepanyol, Argentina, Afrika Selatan dan Perancis melepasi setengah juta dengan kira-kira 800,000 kes hingga 550,000 kes.

Dalam pada itu, negara-negara yang berada dalam lingkungan angka 300,000 hingga 500,000 kes jangkitan adalah Chile, Iran, United Kingdom (UK), Bangladesh, Iraq, Arab Saudi, Turki, Pakistan, Itali dan Filipina.

Jerman, Indonesia, Magribi, Belanda, Republic Dominican, Belgium, Panama, Kazakhstan, Mesir, Kanada, Bolivia, Qatar dan Kuwait pula merekodkan antara 100,000 kes dan 200,000 kes.

Negara-negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000 kes.

Melihat data kematian global pula, statistik yang sama menunjukkan ia meningkat lebih 50,000 kes dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif mencecah 990,000.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 204,341 kematian, diikuti Brazil (140,537) dan India (93,379).

Sementara Mexico dan UK masing-masing mencatatkan 75,844 dan 42,060 kematian setakat ini.

Itali, Peru, Perancis dan Sepanyol pula dilihat berkongsi angka korban melebihi 30,000 kes.

Iran dan Columbia pula merekodkan angka lebih 25,000 korban manakala lain-lain negara masih merekodkan angka kematian di bawah 20,000 kes.