PUTRAJAYA :Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti empat lagi kluster baharu COVID-19 pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut ialah Kluster Seri Gaya, Kluster Greenhill, Kluster Idaman dan Kluster Bayu.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Seri Gaya melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah manakala Kluster Greenhill pula dilaporkan di daerah Kuching dan Miri di Sarawak.

Selain itu, Kluster Idaman melibatkan daerah Petaling dan Gombak di Selangor dan juga daerah Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kluster Bayu pula membabitkan daerah Johor Bahru dan Muar di Johor.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Berikut perincian lanjut mengenai keempat-empat kluster baharu yang dikenal pasti pada Rabu (28 Oktober 2020):

1) KLUSTER SERI GAYA

Kluster baharu ini melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14153) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober 2020.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif COVID-19.

Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Sehingga 28 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 64 individu telah disaring, di mana:

• 17 kes dikesan positif COVID-19 (11 kes baharu); dan
• 47 individu dikesan negatif.

2) KLUSTER GREENHILL

Kluster baharu ini dilaporkan di daerah Kuching dan Miri di negeri Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-27786) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Oktober 2020.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 24 lagi kes positif COVID-19.

Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri.

Sehingga 28 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 51 individu telah disaring, di mana:

• 25 kes dikesan positif COVID-19 (21 kes baharu); dan
• 26 individu masih menunggu keputusan.

3) KLUSTER IDAMAN

Kluster baharu ini melibatkan daerah Petaling dan Gombak di negeri Selangor dan juga daerah Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16044) telah dikenal pasti positif COVID- 19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober 2020. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Sehingga 28 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 481 individu telah disaring, di mana:

• 11 kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu);
• 300 individu dikesan negatif; dan
• 170 individu masih menunggu keputusan.

4) KLUSTER BAYU

Kluster baharu ini melibatkan daerah Johor Bahru dan Muar di negeri Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-25677) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 23 Oktober 2020.

Hasil saringan kontak rapat mengesan tujuh (7) lagi kes positif COVID-19.

Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.

Sehingga 28 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 104 individu telah disaring, di mana:

• 8 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu);
• 60 individu negatif; dan
• 36 individu menunggu keputusan.



Kemas kini kes COVID-19 di Malaysia setakat 28 Oktober 2020.⁠