PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan enam lagi kluster baharu dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, dua kluster dikesan di Sabah iaitu Kluster Mesra dan Megah, manakala Kluster Kaya di Negeri Sembilan dan Putrajaya, Kluster Bah Kayu (Selangor), Kluster Baki (Sarawak) dan Kluster Kempas di Johor.

"Kluster Mesra dan Megah masing-masing membabitkan daerah Sandakan hasil saringan kontak rapat pesakit yang dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

"Kluster Kaya pula dikesan di Seremban dan Putrajaya membabitkan sebanyak 55 kes positif virus itu manakala Kluster Bah Kayu pula dikesan di Gombak dan Titiwangsa membabitkan mereka yang pulang dari Sabah.

"Kluster Baki pula dikesan di Kuching hasil saringan individu bergejala yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak manakala Kluster Kempas pula dikesan di Johor Bahru dan Kulai bagi kes indeks  ke-24,447 yang disahkan positif," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menggesa agar penduduk di Lembah Klang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa pada 14 Oktober lalu.

"Tujuan utama adalah supaya lebih ramai yang duduk di rumah, mengurangkan pergerakan masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan virus COVID-19 di dalam kawasan-kawasan PKPB ini.

"Sama ada tindakan ini akan berjaya atau tidak adalah bergantung kepada kepatuhan dan kerjasama kita semua," katanya.

Beliau menambah, kerajaan memohon semua majikan dan pekerja untuk mematuhi arahan kerana ia akan membantu mengurangkan pergerakan masyarakat di sekitar kawasan PKPB sekali gus menurunkan risiko penularan di tempat kerja.