KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan tiga lagi kluster baharu iaitu Kluster Lekir, Kluster Buntar dan Kluster Merbok.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kluster Lekir dikesan di daerah Manjung, Perak hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober lalu.

“Kes ini telah dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif COVID-19,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 pada Jumaat.

Bagi Kluster Buntar, kluster tersebut melibatkan daerah Kuala Muda, Kedah; daerah Kerian, Perak, dan juga Putrajaya.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18035) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

"Saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif COVID-19," katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, sehingga 16 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 51 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif COVID-19 dan seramai 43 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Bagi Kluster Merbok pula, ia dikesan melibatkan kawasan bagi daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, dan Petaling di Selangor.

Kes ini telah disahkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan hasil kontak rapat telah mengesan lapan lagi kes positif COVID-19.

"Sehingga 16 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 270 individu telah disaring, di mana sembilan kes dikesan positif COVID-19 dan 261 individu masih menunggu keputusan," katanya lagi.