Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 39 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah 197 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, daripada kes ini, sebanyak 38 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu kes dari kalangan kontak rapat.

"Sehingga kini, sebanyak empat kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral.

"Untuk makluman semua, kes-kes bagi gelombang kedua yang dilaporkan ini (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-197), sebanyak 52 kes dilaporkan dari kalangan PUI, manakala kes-kes lain dilaporkan melibatkan dua kluster utama yang telah dikenal pasti.

"Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya," jelasnya.


Di samping itu, KKM juga telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19.

"Sehingga 13 Mac 2020, sebanyak 756 sampel telah diuji dan setakat ini sebanyak tiga sampel dikesan positif jangkitan COVID-19.

"Setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati kes-kes ini dikesan di kalangan kluster perhimpunan tabligh. Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," ujarnya.


BACA: COVID-19: Rakyat Malaysia disaran tangguh perjalanan ke Denmark

Dalam pada itu, KKM menegaskan agar orang awam mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut bagi memerangi penularan wabak COVID-19.
  1. Orang awam tidak digalakkan untuk menghadiri perhimpunan atau tempat yang melibatkan orang ramai ` termasuklah tempat keagamaan, terutamanya mereka yang bergejala jangkitan saluran pernafasan; dan
  2. Semua penganjuran aktiviti yang melibatkan orang awam hendaklah ditangguhkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19. KKM akan memaklumkan perkembangan jangkitan ini dari semasa ke semasa.
  3. Penjagaan kebersihan diri yang baik adalah seperti sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan hand sanitizer
  4. Dapatkan segera dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.