COVID-19: Klinik di Pulau Pinang diarah tutup

Sebuah klinik di Air Itam di sini, diarah tutup sementara bermula semalam bagi proses disinfeksi oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang selepas seorang daripada pesakitnya disahkan positif COVID-19.

Chow Kon Yeow dalam satu majlis berasingan menasihati orang ramai untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan KKM bagi melindungi diri daripada jangkitan COVID-19. - Gambar fail | Astro Awani
GEORGE TOWN:Sebuah klinik di Air Itam di sini, diarah tutup sementara bermula semalam bagi proses disinfeksi oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang selepas seorang daripada pesakitnya disahkan positif COVID-19.

Klinik 02 dalam kenyataan hari ini menyatakan pihaknya dimaklumkan oleh inspektor kesihatan Pulau Pinang bahawa terdapat satu kes positif COVID-19 yang disahkan di negeri itu dan setelah dikenal pasti, pesakit terbabit didapati telah mengunjungi tingkat bawah Klinik O2 pada 1 Sept lepas.

"Pesakit ini telah mendapatkan rawatan di klinik pada 8.14 malam, 1 Sept kerana cirit-birit, tetapi tidak menunjukkan gejala berkaitan COVID-19 pada masa itu.

"Terdapat empat jururawat serta dua doktor bertugas di klinik berkenaan pada masa itu dan kesemua mereka telah dihantar untuk menjalani saringan dan pemantauan rapi.

"Proses disinfeksi dengan segera dijalankan di seluruh klinik mengikut garis panduan pengendalian jangkitan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dan menurutnya klinik itu dijangka beroperasi semula pada 8 pagi, Khamis ini (10 Sept).

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam satu majlis berasingan menasihati orang ramai untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan KKM bagi melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.

Katanya semua jabatan berkaitan perlu terus mematuhi peraturan tersebut, dengan segera menjalankan pengesanan kontak, pengasingan dan rawatan sekiranya ada kes COVID-19 yang disahkan di Pulau Pinang.

"Sekiranya terdapat kes, kami harap ini dapat dilakukan dengan segera dan betul supaya rantaian (COVID-19) dapat diputuskan serta mencegah penularan," katanya.

Chow mengulas mengenai segelintir orang awam yang menerima maklumat berkaitan COVID-19 dari media sosial sebelum pengumuman rasmi KKM.

-- BERNAMA