KOTA KINABALU: Satu kluster baru melibatkan tempat kerja telah dikesan pada Jumaat di daerah Kinabatangan dan Sandakan yang dinamakan Kluster Ladang LSP.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster itu membabitkan 20 kes positif pekerja dari dua ladang kelapa sawit di dua daerah berkenaan.

"Kes Indeks merupakan seorang lelaki berumur 27 tahun, pekerja di Ladang Kinabatangan yang disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag) di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 21 April, bagi saringan masuk kerja.

"Susulan kes itu, saringan kontak mendapati 19 lagi kes positif masing-masing 13 kes hasil saringan tempat tinggal, Ladang Sungai Pin (Ladang Borneo Samudera) di Kinabatangan; dua kes hasil saringan tempat kerja iaitu Ladang Kinabatangan di Kinabatangan dan empat kes hasil saringan kontak serumah melalui sampel kedua di Ladang Sepagaya, Sandakan," katanya dalam satu kenyataan.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata aktiviti persampelan COVID-19 dan disinfeksi diteruskan untuk menilai jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain.

Katanya, daripada 153 kes positif COVID-19, sebanyak 29 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 17 kes saringan bergejala, 101 kes dari kluster baharu dan sedia ada serta enam kes dari lain-lain kategori.

Dalam pada itu, pertambahan kes daripada kluster sedia ada telah membawa angka COVID-19 di Sabah melonjak ke tiga angka.

Jelas Madisi, sebanyak 153 kes direkodkan, dengan satu kes kematian dari daerah Tawau.