KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lapan kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini 32,000 orang, daripada 2.88 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antaranya kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 61,426 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 53,805 individu atau 87.6 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,209 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 3,298 kes dirawat di hospital dan 114 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 58 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 56 lagi memerlukan mesin ventilator.