PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan lebih 5,000 katil bagi rawatan COVID-19 di semua hospital di Lembah Klang, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, jumlah tersebut termasuk tambahan kapasiti katil daripada 3,412  kepada 3,777 katil di Selangor.

Selain itu, katanya sebanyak 1,129 lagi katil ditambah di Kuala Lumpur dan Putrajaya, berbanding 795 katil sebelum ini.

"Selain itu, kerjasama yang dibuat dengan tiga buah hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajar UPM bagi mengoptimumkan penggunaan katil di hospital tersebut, menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan COVID-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 buah katil," katanya dalam sidang media Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, pada Selasa.

Selain itu, Dr Adham berkata KKM turut menambah dua buah Hospital Full COVID-19 iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang yang mula beroperasi sejak 23 Jun lalu.

"Hospital Ampang mempunyai kapasiti 577 buah katil, manakala hospital lain dijadikan sebagai Hospital Hibrid COVID-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai Hospital Non-COVID-19," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata Selangor dijangka menerima lima juta dos vaksin pada bulan ini bagi meningkatkan pemberian vaksinasi dalam kalangan penduduk di negeri itu.

Katanya, KKM dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-​19 (JKJAV) bersetuju untuk memberikan empat juta dos vaksin dan tambahan sebanyak satu juta dos lagi kepada Selangor dalam usaha mempercepatkan imuniti kelompok.

"Ini merupakan satu langkah yang cepat untuk kita laksanakan supaya mencapai imunti kelompok secepat mungkin.

"Perkara ini melibatkan peningakatan kapasiti petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Walau bagaimanapun di negeri lain, jadual seperti biasa dilaksanakan dan setakat ini kita telah pun berjaya di mana peringkat nasional sebanyak 11.3 peratus suntikan vaksinasi telah diberikan dalam kalangan penduduk negara ini," ujarnya.