KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lima kematian baharu setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan sebanyak 35,665 kes, daripada 4.46 juta kes positif COVID-19 yang dikesan.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, satu daripada kes kematian berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, terdapat pertambahan 1,155 kes baharu direkodkan dengan kes aktif COVID-19 seluruh negara ketika ini adalah 24,393.

Daripada jumlah itu, 23,403 individu atau 95.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Manakala 939 individu atau 3.8 peratus pesakit COVID-19 ditempatkan di hospital.

Daripada jumlah itu, 34 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 18 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kes sembuh juga mencatatkan jumlah lebih tinggi daripada kes baharu iaitu 1,975 kes.