PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 46 kluster jangkitan COVID-19 berkaitan aktiviti rentas negeri bermula 7 Dis lepas sehingga hari ini yang melibatkan 6,044 kes di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 14 kluster direkodkan hanya pada April sahaja.

Mengambil contoh Kluster Pasai di Sarawak, beliau berkata kes indeks telah ke Sarawak dari Johor Bahru pada Januari lepas, susulan kematian ayahnya dan menjangkiti 2,693 kes lain walaupun disahkan negatif ketika ujian saringan, sebelum berlepas ke negeri Bumi Kenyalang itu.

"Ia juga mengakibatkan 29 kematian dan menjangkiti 58 rumah panjang lain. Ini yang kita bimbang jika rentas negeri atau daerah," katanya pada sidang media perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Justeru, beliau melahirkan kebimbangan jika pergerakan rentas negeri atau daerah dibenarkan, ia pasti akan mewujudkan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM menjangkakan kes baharu COVID akan melebihi 5,000 kes sehari, menjelang akhir Mei.

Jelasnya, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian setakat semalam untuk seluruh negara adalah 1.10.

Mengulas mengenai kematian akibat pandemik itu setakat semalam, beliau berkata 85 peratus iaitu 1,390 kematian di negara ini melibatkan warga emas berumur 50 tahun ke atas sementara 64 peratus (1,045) membabitkan golongan lelaki.

"18 peratus meninggal dunia di luar hospital manakala 89 peratus mempunyai penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Sebanyak 87 peratus kematian berada pada tahap empat dan lima yang memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kematian yang berlaku dari Januari hingga Mei tahun ini adalah 1,161, jauh lebih banyak, jika dibandingkan dengan 471 kematian sepanjang 2020.