KUALA LUMPUR:Malaysia mencatatkan sebanyak 3,211 kes jangkitan COVID-19 baharu dengan lapan kematian pada Jumaat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, daripada 3,211 kes itu, sebanyak 3,206 merupakan penularan tempatan manakala lima adalah kes import.

"Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 151,066 kes.

"Selain itu, sebanyak 204 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 87 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,939 kes sembuh turut direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 115,227 kes atau bersamaan 76.3 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, terdapat juga pertambahan lapan kes kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia sebanyak 586 kes atau 0.39 peratus daripada keseluruhan kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 12 kluster baharu dikesan iaitu tiga di Johor, Selangor (dua), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Kelantan, Putrajaya, Perak dan Melaka.

Katanya, tiga kluster di Johor ialah Kluster Persiaran Selatan membabitkan sebuah tapak pembinaan di Johor Bahru, selain Kluster Jalan Kuang di daerah Batu Pahat dan Kluster Kampung Perani di Kota Tinggi.

Beliau berkata, di Selangor Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan Kluster Jalan Telok Gong dan Kluster Lingkaran Lintang di daerah Klang.

Dua kluster di Sabah pula ialah Kluster Ladang Baturong di daerah Kunak dan Kluster Ladang Matamba di Lahad Datu.

Di Kuala Lumpur, kluster baharu ialah Kluster Tapak Bina Damai di daerah Cheras; Kelantan (Kluster Pondok Hidayah di daerah Machang); Perak (Kluster Kota Road di daerah Kinta dan Larut); Melaka (Kluster Tembok Kemus di daerah Alor Gajah); dan Putrajaya (Kluster Restoran Putra di Presint 9).