Lebih sejuta dokumen berkaitan kes Jeffrey Epstein ditemukan pihak berkuasa Amerika

Gambar fail menunjukkan Jeffrey Epstein bersama bekas teman wanitanya, Ghislaine Maxwell. - Gambar Agensi
WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menemukan lebih sejuta dokumen tambahan yang berpotensi berkaitan dengan kes mendiang pesalah seksual Jeffrey Epstein, yang dijangka didedahkan dalam tempoh beberapa hari dan minggu akan datang.
Menurut pegawai, Pejabat Peguam Negara bagi Daerah Selatan New York dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah memaklumkan Jabatan Kehakiman (DoJ) mengenai penemuan itu dan menyerahkan dokumen berkenaan untuk semakan peguam.
“Kami mempunyai pasukan peguam yang bekerja sepanjang masa bagi meneliti dan membuat penyuntingan yang diwajibkan undang-undang untuk melindungi mangsa, dan kami akan mengeluarkan dokumen secepat mungkin,” kata DoJ di media sosial pada Rabu.
Jabatan itu menjelaskan, memandangkan jumlah bahan yang besar, proses berkenaan mungkin mengambil masa “beberapa minggu lagi.”
Agensi itu turut menegaskan akan “terus mematuhi sepenuhnya undang-undang persekutuan dan arahan Presiden Donald Trump untuk mendedahkan fail tersebut.”
Kenyataan itu tidak memperincikan bagaimana FBI dan pendakwa New York menemui bahan tambahan tersebut.
Penemuan ini susulan pendedahan ribuan dokumen minggu lalu – sebahagiannya disunting – berkaitan siasatan terhadap Epstein.
Fail berkenaan didedahkan selepas Kongres meluluskan Akta Ketelusan Fail Epstein, yang ditandatangani Presiden Donald Trump, mengarahkan semua dokumen dikongsi kepada umum sambil melindungi identiti mangsa.
Bagaimanapun, DoJ menerima kritikan daripada ahli Kongres berhubung jumlah penyuntingan yang dibuat, sedangkan undang-undang hanya membenarkan penyuntingan untuk melindungi identiti mangsa dan siasatan jenayah aktif.
Undang-undang itu melarang penyuntingan atas alasan memalukan atau menjejaskan reputasi.
Antara dokumen yang didedahkan sebelum ini termasuk e-mel dalaman FBI pada 2019 yang menyebut 10 individu berpotensi sebagai “rakan subahat” Epstein, dengan enam daripadanya telah menerima sepina.
Isu rakan subahat menjadi fokus utama mangsa dan ahli Kongres yang mendesak ketelusan penuh daripada DoJ.
Pendedahan terdahulu turut mencetuskan kontroversi besar, termasuk pemecatan Peter Mandelson sebagai Duta United Kingdom ke AS selepas hubungan rapatnya dengan Epstein terbongkar serta pengguguran gelaran diraja Putera Andrew berikutan kaitan dengan kes tersebut.
Dalam pendedahan terbaharu, e-mel bertarikh 2001 daripada individu dikenali sebagai “A” di Balmoral kepada Ghislaine Maxwell – yang kini menjalani hukuman 20 tahun penjara atas kesalahan pemerdagangan seks – berbunyi: “Sudah jumpa kawan baharu yang tidak sesuai untuk saya?”
Putera Andrew berulang kali menafikan sebarang salah laku dan menegaskan beliau tidak pernah “melihat atau mengesyaki” tingkah laku yang membawa kepada penahanan Epstein. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


