KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini menyalurkan bantuan peralatan dan bekalan perubatan berkaitan COVID-19 kepada Indonesia.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memaklumkan inisiatif yang digerakkan oleh pelbagai kementerian dan agensi Malaysia ini mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara.

"Sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama rapat dalam memerangi pandemik COVID-19.

"Sumbangan yang dihulurkan Malaysia berupa ISO tank containers with liquid oxygen, oxygen concentrators, therapeutic medicines dan disposable medical items," memetik kenyataan itu.

Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Hermono selaku wakil pihak kerajaan Indonesia di Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Hadir sama adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Penghantaran utama bantuan ini telah dihantar melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan barangan selebihnya akan dihantar secara berperingkat.

Menurut Kementerian Luar, Malaysia akan meneruskan kerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN dan rakan antarabangsa dalam menangani implikasi COVID-19 serta ke arah pemulihan sepenuhnya.