"Warisan negara milik semua rakyat, bukan golongan elit" - Anwar

Anwar (tengah) ketika merasmikan Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Warisan negara harus dimiliki dan dinikmati oleh seluruh rakyat, bukannya dikuasai oleh segelintir golongan elit bagi pemeliharaan warisan dalam era pembangunan dan teknologi baharu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pembangunan pelaburan serta kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan sejarah, seni dan budaya negara agar identiti nasional tidak terhakis.
“Walaupun negara telah lama mencapai kemerdekaan, masih wujud sikap elitis yang menjadikan bangunan dan warisan peninggalan penjajah seolah-olah kekal sebagai milik penguasa, bukan rakyat.
“Masalahnya bukan pada bangunan atau warisan itu sendiri, tetapi pada jiwa, minda dan sikap kita yang belum benar-benar merdeka. Gedung-gedung ini akhirnya menjadi simbol kuasa, bukannya ruang rakyat,” katanya ketika Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Beliau menegaskan, kemerdekaan sebenar bukan sekadar menukar pentadbiran penjajah kepada pentadbiran tempatan, tetapi menolak sikap elitisme yang menafikan akses rakyat biasa terhadap warisan negara.
Katanya, rakyat perlu diberi ruang untuk menikmati kemudahan, sejarah dan seni tanpa halangan yang tidak munasabah, selagi kawalan dan pemeliharaan dilaksanakan secara profesional.
Malah, Anwar berkata pemeliharaan warisan yang dilakukan oleh pakar dan profesional harus dimanfaatkan oleh semua, supaya generasi muda dapat memahami, menghargai dan berbangga dengan khazanah negara.
“Warisan ini adalah milik negara keseluruhannya dari segi sejarahnya, peristiwa, seni, budaya dan sasteranya. Ia mesti bersifat terangkum dan inklusif,” katanya.
"Keterangkuman dan inklusiviti adalah teras utama yang membolehkan rakyat daripada pelbagai lapisan, khususnya pelajar dan anak muda, merasai kebanggaan terhadap identiti negara," ujarnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


