KUALA LUMPUR: Kerajaan menyekat penerbangan keluar masuk dari India ke negara ini bagi mencegah kemasukan varian baharu COVID-19 dari negara itu, berkuat kuasa Rabu ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit untuk ke Malaysia adalah dilarang memasuki negara ini.

"Larangan ini turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga.

"Walau bagaimanapun, pengecualian hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja," katanya menerusi kenyataan media harian, pada Isnin.

Turut dikenakan sekatan ialah pekerja asing dari India yang mempunyai pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih sah laku, pelajar warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa.

Bagi warganegara Malaysia sama ada pelajar, pekerja, pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tinggal di India dan kumpulan keagamaan yang berada di India, mereka dibenarkan memasuki Malaysia dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari.

Prosedur sama juga terpakai untuk bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia.