MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), membatalkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti solat jemaah dan program pengimarahan mengikut kapasiti masjid dan surau, dan menguatkuasakan ketetapan baharu susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketetapan baharu yang berkuatkuasa hari ini hingga 7 Jun depan, hanya membenarkan solat jemaah dengan kehadiran 20 jemaah bagi masjid dan 10 jemaah bagi surau.

"Bagi pelaksanaan solat Jumaat di masjid pula, maksimum jemaah dibenarkan adalah 100 orang, termasuk ahli jawatankuasa masjid.

"Bagi surau diberi kebenaran mengadakan solat Jumaat pula adalah seramai 50 jemaah termasuk ahli jawatankuasa surau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan solat jenazah pula, hanya 20 jemaah termasuk ahli jawatankuasa dan waris dibenarkan di masjid dan 10 jemaah di surau.

"Bagi aktiviti pengimarahan seperti ceramah, bacaan Yasin dan tahlil, bengkel dan kursus serta penganjuran majlis, ditangguhkan.

"Sementara itu kebenaran bagi majlis akad nikah di masjid dan surau pula, ditentukan oleh Pejabat Agama Islam Daerah berkaitan," katanya.

-- BERNAMA