REMBAU:Pejabat Agama Islam Daerah Rembau ditutup selama sembilan hari bermula hari ini susulan seorang pelanggan yang berurusan di premis berkenaan didapati positif COVID-19.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli, yang mengesahkan perkara itu, berkata pelanggan berkenaan telah berurusan di premis berkenaan pada 1 Okt lalu.

"Pejabat Agama Islam Daerah Rembau diarah tutup serta-merta selepas mendapat arahan daripada Pegawai Daerah Rembau selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah pagi tadi.

"Setakat ini hanya seorang kakitangan diarahkan untuk melakukan ujian calitan manakala 26 lagi kakitangan diarah untuk melakukan kuarantin kendiri di rumah," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata proses disinfeksi telah dijalankan di kawasan premis berkenaan.

Beliau berkata untuk sebarang urusan, pelanggan boleh menghubungi talian 013-3500712 (Unit Dakwah), 017-6559798 (Unit Masjid dan Surau), 012-6213234 (Unit NCR), 017-2046018 (Unit URC), 013-2775232 (Unit Penguatkuasa) dan 017-2773453 (Pentadbiran).