PUTRAJAYA: Pemberian vaksin telah berjaya menghasilkan penurunan kes-kes serius COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehingga kini, beliau berkata, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Perdana Menteri berkata, itu adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lepas.

“Kumpulan warga emas adalah Fasa 2 dalam pemberian vaksin COVID-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat,” katanya lagi.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin

Perdana Menteri berkata, keputusan yang sama juga dilihat berdasarkan data petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, di mana mereka telah menerima vaksin COVID-19 lebih awal lagi.

Beliau berkata hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksinasi, dan 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan, atau tidak bergejala, dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori 5.

Selain itu, Muhyiddin berkata, satu lagi contoh ialah di Labuan, lokasi di mana varian Delta pertama telah dikesan di negara ini.

Beliau berkata, peningkatan kadar vaksinasi di wilayah tersebut turut memperlihatkan pengurangan jumlah kes positif dan kematian akibat COVID-19.

“Penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bahawa lebih 90 peratus kes positif COVID-19 di negara kita adalah dalam kategori satu dan dua agak melegakan kita.

“Ini bermakna, kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan "Operation Surge Malaysia" yang diumumkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba untuk Kuala Lumpur dan Selangor, bakal menyaksikan 6.1 juta populasi dewasa di dua negeri berkenaan akan terima sekurang-kurangnya 1 dos menjelang 1 Ogos ini.

Beliau berkata, ia melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai, dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan KKM supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan memberikan rawatan yang terbaik.

Ini kerana, jelasnya lagi, berdasarkan situasi di mana dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes-kes COVID-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas.

“Kita semua sedang berusaha untuk melawan COVID-19. Kita mesti sentiasa tabah dan cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya,” katanya lagi.