BAGAN SERAI: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan sedikit peningkatan kes positif COVID-19 sejak seminggu lalu, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, masyarakat dinasihatkan supaya terus berhati-hati dan mengamalkan norma-norma baharu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, lebih 99 peratus daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 adalah pada Tahap 1 dan 2.

"Kita patut mengadaptasi norma-norma baharu sekarang ini untuk menjaga kesihatan kita. Yang terbaiknya, jika hendak memakai face mask ini, itu yang terbaik sebenarnya, Jadi, kita nasihatkan untuk mengikuti norma-norma baharu yang disarankan dan sehingga kini, kita masih lagi mengikuti dengan SOP yang ada," kata Dr Noor Azmi. 

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Negeri Perak dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat Daerah Kerian di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin, Bagan Serai, pada Sabtu.

Menurut laporan KKM, bilangan pesakit COVID-19 sejak Isnin menunjukkan peningkatan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Pada Isnin, bilangan yang direkodkan ialah 1,737, meningkat kepada 1,743 pada Selasa diikuti 2,236 pada Rabu, 2,762 pada Khamis dan 3,296 pada Jumaat.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, KKM sedang memuktamadkan deraf prosedur operasi standard (SOP) untuk pengundi-pengundi yang disahkan positif COVID-19.

Menurutnya, deraf tersebut kemudianya akan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan.