KUALA LUMPUR: Penurunan kes yang direkodkan kebelakangan ini tidak boleh dianggap petunjuk situasi penularan COVID-19 di Malaysia sudah semakin baik.

Sebaliknya, beberapa indikator lain seperti jumlah pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk yang memerlukan alat bantuan pernafasan selain statistik kematian harian juga perlu diambil kira sebelum menyatakan virus sudah dapat dikawal.

Pengerusi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, jumlah pesakit di ICU yang masih tinggi menunjukkan sistem kesihatan Malaysia masih memerlukan bantuan.

“Kita lihat kes-kes senarai kematian, ada yang jenazah dibawa ke hospital atau ‘brought in dead’ atau BID.

“Ini menunjukkan bebanan kepada sistem kesihatan kita bahawa kita dapat lihat di lapangan ada pesakit menanti untuk dimasukkan ke hospital.

“BID ini menunjukkan bahawa sistem kita masih memerlukan bantuan, atau masih tidak lagi terkawal,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, meskipun vaksin mungkin boleh membantu negara melawan virus tersebut namun jika dilihat pada kadar vaksinasi harian, ia mungkin mengambil masa agak lama untuk negara mencapai imuniti kelompok.

Justeru, katanya, semua pihak dari peringkat atasan sehinggalah kepada rakyat perlu berusaha dan memastikan pematuhan sebaiknya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita tak boleh cakap ini semua (kes meningkat) sebab rakyat tak patuh kerana ini memerlukan semua orang, semua lapisan masyarakat.

“Bagi masyarakat, kita perlu terus ikut saranan kerajaan untuk terus berada di rumah dan keluar hanya bila perlu dan elak kawasan menjadi tumpuan orang ramai,” ujarnya.

Tambahnya, pemimpin perlu menjadi contoh kepada rakyat bagi mengelak wujudnya persepsi wujud pilih kasih dalam pelaksanaan SOP.