MALAYSIA
Arkib Negara anjur program istimewa kenang jasa Tun Abdullah 16 Sept ini

Penganjuran program ini bertujuan menerapkan nilai sahsiah, sosial dan kemasyarakatan dengan menghayati keperibadian dan corak kepimpinan Tun Abdullah dalam pembangunan modal insan. - Foto Facebook Arkib Negara
GEORGE TOWN: Arkib Negara Malaysia menganjurkan program istimewa pada 16 Sept ini bagi mengenang dan menelusuri jasa serta sumbangan besar Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia.
Ringkasan AI
- Arkib Negara Malaysia menganjurkan program khas Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan pada 16 Sept di Kepala Batas sempena sambutan Hari Malaysia 2025.
- Program ini menampilkan sesi bicara negarawan, perkongsian oleh anak beliau, Nori Abdullah, serta pameran biografi, perjalanan politik, dasar dan koleksi peribadi Allahyarham Tun Abdullah.
- Arkib Negara terus berperanan mendokumentasi, memelihara dan menyebarkan legasi kepimpinan Tun Abdullah melalui bahan arkib, pameran, dokumentari dan akses digital untuk generasi muda serta penyelidik.
"Penganjuran program itu bertujuan menerapkan nilai sahsiah, sosial dan kemasyarakatan dengan menghayati keperibadian dan corak kepimpinan Tun Abdullah dalam pembangunan modal insan.
"Ia juga bagi mendokumentasikan kisah dan penceritaan atau pembicaraan mengenai sumbangan Tun Abdullah kepada negara melalui dasar serta polisi yang diamalkan dalam pentadbirannya untuk rujukan dan penyelidikan," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Hanizah berkata Program Mengenang Negarawan yang juga signature programme Arkib Negara sejak 2022 bagi mengangkat dan memartabatkan sumbangan, jasa serta pengorbanan tokoh negarawan itu menjadi program sisipan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025).
Beliau berkata majlis yang dijadual bermula pada 9 pagi itu akan menampilkan dua sesi utama, iaitu sesi bicara negarawan yang melibatkan beberapa tokoh pembicara termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Othman.
Sesi seterusnya "Kisah Ayahanda Saya" yang akan disampaikan oleh anak Pak Lah Nori Abdullah.
"Selain itu, terdapat pameran mengenai biografi, perjalanan politik, sumbangan dan jasa Tun Abdullah melalui paparan poster pameran dan artifak atau objek koleksi peribadi, memorabilia beliau yang terdapat dalam pemeliharaan Arkib Negara," katanya.
Menyentuh mengenai peranan Arkib Negara, beliau berkata agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan dokumen, ucapan, dasar, sejarah dan nilai yang dibawa oleh Tun Abdullah terus hidup dalam lipatan sejarah dan denyut nadi rakyat.
Mengulas lanjut, Hanizah berkata ia akan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti program sejarah lisan, pameran bergerak, penerbitan dokumentari dan digitalisasi bahan arkib supaya segala legasi pemikiran, ketokohan, kepimpinan dan perpaduan yang dibawa oleh Tun Abdullah dapat terus disampaikan kepada generasi muda.
Bahan di Arkib Negara boleh diakses oleh penyelidik dan orang awam sama ada secara fizikal di dewan penyelidikan ibu pejabat atau negeri mahupun dalam talian melalui sistem Online Finding Aid (OFA) yang boleh dilayari 24 jam tanpa sempadan masa dan tempat.
Selain menyimpan bahan arkib, Arkib Negara juga bertanggungjawab memelihara dan memulihara bangunan dan rumah kelahiran serta koleksi berkaitan tokoh negarawan.
Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Allahyarham ialah Ahli Parlimen Kepala Batas dari 1978 hingga 2013 dan Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" diadakan pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan acara pada 8.30 malam, yang akan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami