Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan beberapa kakitangan perubatan Hospital Teluk Intan di Perak positif COVID-19.

Beliau berkata pihak hospital sedia maklum mengenai penularan berita menerusi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp yang mendakwa peningkatan bilangan kes positif COVID-19 dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan operasi harian hospital terganggu.

“Dimaklumkan bahawa beberapa kakitangan perubatan telah disahkan positif COVID-19.

"Walau bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil dengan segera serta pemantauan rapi dilaksanakan secara berterusan.

“Pihak Pengurusan Hospital Teluk Intan telah mengambil tindakan pengawalan yang rapi dengan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak serta tindakan pencegahan untuk meminimumkan pendedahan terhadap kakitangan hospital telah menjadi aktiviti utama sejak kes pertama jangkitan positif COVID-19 dikenal pasti,” katanya dalam satu muat naik di akaun Facebook.



Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menggesa orang ramai agar tidak menularkan sebarang berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran.

Menurutnya, sebarang maklumat berkenaan COVID-19 hendaklah dirujuk kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi talian hotline 03-8881 0200/0600/0700 atau e-mel [email protected].

Sebelum ini, Dr Noor Hisham mengesahkan sejumlah 19 kakitangan KKM dan lima pekerja di kemudahan perubatan swasta dijangkiti virus itu.

Namun, beliau menjelaskan jangkitan dalam kalangan kakitangan perubatan bukan disebabkan mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.