KUALA LUMPUR: Jumlah kompaun yang dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mungkin akan dinaikkan di masa akan datang.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, beliau akan membawa cadangan tersebut ke Parlimen untuk membolehkan akta itu dipinda.

Katanya, ia bagi membolehkan denda maksimum dikenakan terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

“Akta 342 saya akan bawa untuk dipinda di Dewan Rakyat pada bulan Disember nanti supaya bila dah tamat Ordinan Darurat kita akan naikkan maksimum kompaun yang boleh dikenakan di bawah Akta 342 supaya kita boleh keluarkan kompaun yang tinggi kepada pesalah-pesalah yang tidak mematuhi SOP," katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke Pejabat Kesihatan Rembau, Negeri Sembilan pada Ahad.

Bagaimanapun jelas beliau, soal membabitkan pematuhan SOP yang sedia ada sebenarnya terletak kepada kesedaran masyarakat itu sendiri.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang tidak dapat dilakukan di semua tempat meskipun dengan mengerah seluruh tenaga anggota penguatkuasaan yang ada, sebaliknya ia memerlukan kerjasama daripada orang ramai.

“Saya tak cukup kakitangan kalau nak pergi setiap kedai tuan-tuan dan puan-puan. Tak cukup penguatkuasa KKM (Kementerian Kesihatan), tak cukup polis dan polis pun ada kerja lain nak buat.

"Akhirnya ia banyak bergantung kepada tingkah laku kita sendiri sebagai rakyat. Kita boleh pergi dan kompuan tapi takkan itu sahaja kerja KKM dan PDRM? Ada banyak lagi kerja yang kita kena buat," tambahnya.

Jelas Khairy lagi, jika rakyat Malaysia benar-benar ingin selamat daripada gelombang keempat COVID-19 yang mungkin akan melanda, tingkah laku terhadap pematuhan SOP perlu diubah.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku di Eropah ketika ini yang menyaksikan lonjakan jangkitan yang begitu drastik disebabkan penduduknya yang terlalu bebas sehingga berlaku jangkitan yang teruk.