KUALA LUMPUR:Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar bermula Khamis, 24 Disember hingga 6 Januari depan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut adalah berdasarkan penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT) adalah tinggi.

“KKM telah melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif dijalankan (kalangan OKT dan kakitangan) yang melibatkan seramai 773 tahanan dan 127 kakitangan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) di PKPD di pusat tahanan itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Antaranya, tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

Untuk rekod, PPA tersebut dijadikan sebagai Pusat Transit Penerimaan Banduan sejak November 2020.