KUALA LUMPUR: Ekoran peningkatan kes COVID-19 di tiga lokaliti di Kelantan dan Sabah, kerajaan telah bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan PKPD tiga lokaliti tersebut bermula 20 Jun hingga 3 Julai.

Ismail Sabri memaklumkan di Sabah, PKPD dilaksanakan di Grace Villa Condo di Kota Kinabalu dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih di Putatan, Sabah.

Manakala di Kelantan pula PKPD dilaksanakan di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat di Pasir Puteh.

"PKPD ini dilaksanakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

"Selain itu, ia juga dilaksanakan bagi memastikan penduduk berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan PKPD di dua lokaliti di Sabah bermula 20 Jun hingga 3 Julai.

Dua lokaliti tersebut adalah di Kampung Gusi Kinarut di Papar dan  di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi di Kudat.

Pelanjutan PKPD dilakukan ekoran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penularan masih berlaku dan terdapat banyak kes baharu direkodkan.

Selain itu, Ismail Sabri Yaakob juga memaklumkan penamatan PKPD di 16 lokaliti di Perak, Sabah dan Johor bermula 18 dan 19 Jun ini.

Sembilan lokaliti di Perak adalah Kampung Dato'Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah dalam Mukim Ulu Kinta.

Enam lagi lokaliti di Perak ialah Kampung Air Panas dan Kampung Kuak Luar di Pengkalan Hulu, Kampung Alai dan Kampung baharu di Mukim Kerunai di Hulu Perak, di Taman Kerian Tambahan, Kerian serta di Taman Berkat, di Mukim Matang.

Di Sabah, lokaliti yang ditamakan PKPD ialah di Taman Wawasan dan di Jalan Budi Sri Tanjung di Tawau, Kampung Tengah Kinarut dan Kampung Benoni di Papar, di Taman Wangsa di Kota Kinabalu dan di Taman Pelangi di Semporna.

Manakala satu lokaliti di Johor yang ditamatkan PKPD ialah di Felda Redong 1, Mukim Labis di Segamat.