Pulau Pinang mengekalkan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 melebihi 99 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo.

Beliau berkata sehingga 12 Ogos, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melakukan pemeriksaan masing-masing di 209,996 premis di pulau dan 449,231 premis di Seberang Perai.

"Menurut kedua-dua majlis itu, kadar pematuhan SOP di pulau itu pada 99.56 peratus manakala di tanah besar pada 99.34 peratus," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Jagdeep berkata kedua-dua majlis bandaraya berkenaan telah mengambil tindakan proaktif untuk memastikan kesihatan dan keselamatan awam terhadap COVID-19 sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Beliau berkata antara 12 Jun dan 6 Ogos, kedua-dua majlis bandaraya itu telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan mengadakan operasi penguatkuasaan bersama di negeri ini untuk memastikan pematuhan SOP.

"Saya difahamkan bahawa sebanyak 274 kompaun pada RM1,000 setiap satu telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang antara 10 Jun dan 6 Ogos," katanya.

Sepanjang PKP, beliau berkata MBPP telah mengeluarkan 43 pemberitahuan kepada penjaja yang enggan memakai pelitup muka di enam pasar awam.

MBSP juga telah menutup 13 premis makan di Seberang Prai kerana tidak mematuhi SOP, tambahnya.

-- BERNAMA