JOHOR BAHRU:Pihak pengurusan B5 Johor Street Market semalam mengesahkan telah menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menutup sementara pusat pelancongan itu mulai 13 Dis hingga 19 Dis susulan kes positif COVID-19.

Notis perintah tutup premis di Taman Tampoi itu telah tular di laman sosial sejak Ahad.

"Pihak pengurusan telah mengambil tindakan sewajarnya dan bekerjasama erat dengan kementerian bagi menangani isu ini.

"Ia termasuk mengarahkan semua premis ditutup dengan kadar segera selain turut melaksanakan kerja-kerja sanitasi secara berkala demi menjamin kesejahteraan bersama," menurut pengurusan pusat itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di dalam akaun Facebook rasminya.

Menurut kenyataan itu juga, B5 Johor Street Market hanya akan beroperasi seperti biasa bermula 20 Dis.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Aman Rabu memaklumkan penutupan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada pelaksanaan kerja-kerja pencegahan selepas terdapat kes positif COVID-19 dikesan di pusat berkenaan.

B5 Johor Street Market yang merupakan tumpuan pelancong untuk menikmati pelbagai juadah sambil menyaksikan aktiviti kesenian dan membeli produk kraftangan terletak di dalam kawasan kluster baharu kes COVID-19 di Johor Bahru iaitu Kluster Jalan Tampoi.

Pada 7 Dis lepas, KKM turut mengarahkan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru yang terletak bersebelahan B5 Johor Street Market untuk menghentikan sementara operasi sehingga semalam (14 Dis) susulan kes kontak rapat positif COVID-19.

-- BERNAMA