KOTA KINABALU:Selepas kes jangkitan COVID-19 dikesan melibatkan kakitangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Papar, hari ini PTS Menggatal pula merekodkan kes jangkitan baru.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan bahawa jangkitan di PTS Menggatal adalah merupakan kluster baharu dan ia melibatkan tahanan.

"Hari ini terdapat tiga kluster baharu di Kota Kinabalu iaitu Kluster Sembulan di mana 12 kes berpunca daripada syarikat kurier.

"Kluster Telipok mencatat sebanyak 10 kes yang berpunca daripada saringan pekerja kilang beras dan Kluster Rumah Merah sebanyak 57 kes melibatkan penghuni pusat tahanan sementara di Menggatal.

"Ini menjadikan jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada hari ini sebanyak 466 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Masidi, bilangan daerah yang dikategorikan sebagai zon merah telah berkurang dari 18 kepada 17.

"Hari ini daerah Tambunan telah bertukar ke zon kuning.

"Ini menjadikan seramai 277 pesakit COVID-19 telah discaj atau sembuh dari hospital dan menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 7,960 orang.

"Manakala seramai 3,873 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 751 orang di hospital dan 3,122 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC)," katanya.

Tambahnya, jumlah penambahan kapasiti katil di PKRC adalah sebanyak 33 katil dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,892 katil serta penggunaan katil keseluruhan di negeri itu adalah sebanyak 48.73 peratus.

Pada Jumaat, tiga kematian direkodkan di Sabah meilibatkan satu warganegara dan dua bukan warganegara.